Monday, March 9, 2009

Cuti... Tapi Macam Tak Cuti...

Bismillahirrahmanirrahim..

Segala puji bagiMu ya Allah memberikan kami hari yang baru, memberikan kami peluang untuk melaksanakan cita-cita kami, memperbaharui azam kami, menguatkan tekad kami. Sungguh Engkau Maha Pemurah lagi Maha Penyayang kepada insan seperti kami yang selalu alpha dan leka akan kekuasaan Mu ya Allah.


Salam ukhwah kepada sahabat dan kawan semua. Macam mana percutian anda ? Seminggu bercuti mesti banyak cerita dan pengalaman yang anda perolehi. Mungkin ada juga diantara kita yang beristirehat dirumah, bersama dengan keluarga setelah sibuk dengan suasana kuliah dan tugasan seorang mahasiswa.


Saya bagaimana pulak ? Bagi saya, mengisi masa cuti ini dengan terperuk dirumah atau di hostel adalah satu perkara yang sangat membosankan dan merugikan apatah lagi bagi seorang remaja yang ingin sentiasa bebas, jiwa bergelora, pantang ditegur, apatah lagi dicabar. Itu adalah jiwa remaja secara umum, anda adalah normal bila mempunyai ciri-ciri ataupun perasaan seperti ini. Apa yang saya mahu tekankan ialah bagaimana kita mengawal perasaan ini agar tidak memakan diri.


Selamat Datang Saya ucapkan,

pada Teman Marsis yang budiman,

muktamar ini sama-sama kita meriahkan,

sambil kita menambahkan teman.


Hari ini saya ada program bersama sahabat MARSIS, sekali lagi MUKTAMAR MARSIS berlangsung untuk memberikan nafas baru kepada gerakan pelajar Islam ini untuk dipimpin oleh barisan pimpinan baru. Markaz Siswa Siswi Islam Sabah Sarawak atau MARSIS adalah salah satu platform rasmi bagi Mahasiswa dan Mahasiswi Islam Sabah dan Sarawak untuk mengatur langkah, merangka strategi dalam menjaga kebajikan para Mahasiswa dan Mahasiswi dari pulau Borneo ini sepanjang berada di tanah Semenanjung, disamping sebagai asas menjalinkan hubungan Islamiah diantara ahli dan mahasiswa lain, seterusnya menabur bakti apabila cuti dan setelah tamat pengajian nanti demi memastikan syiar Islam akan terus berkembang di tanah air bumi Borneo ini.


Sirih berlipat sirih pinang,

Sirih dari Pulau Mutiara,

Pemanis kata selamat datang

Awal bismilah pembuka kata.


Saya jangkakan saya adalah peserta yang paling jauh sampai, rupanya saya adalah peserta yang paling lewat sampai pada malam itu... penghargaan perlu diberikan kepada sahabat- sahabat yang datang daripada jauh contohnya ada yang datang dari selatan, UTHM, belah utara pun ada, sahabat kita dari USM ,UPSI,dan UUM, kawan-kawan daripada pantai timur pun selamat sampai, daripada Nilam Puri. Datang dengan mengorbankan masa dan belanja semata-mata untuk muwujudkan hubungan silaturrahim Islam ini.


First impression saya terhadap saudara ini, dia nie mungkin seorang yang sombong…. tapi senang untuk bekerjasama.. dan terakhir sekali saudara nie seorang yang kuat berfikir.Saudara nie saya rasa selepas nie jadi seorang usahawan...


Nasib baik ini merupakan pandangan ataupun pendapat pertama apabila melihat peribadi saya, memang anda adalah berhak dan layak untuk mengatakan sedemikian sebab ini adalah perkenalan ringkas dan pertama bagi sahabat saya dengan saya.


Program muktamar berjalan dengan lancar, walaupun kehadiran muslimin agak kurang jika dibandingkan dengan muslimat...rasa macam nak tenggelam pun ada. Apapun program telah berjaya mencapai objektifnya, sekali lagi layar bahtera MARSIS ini akan dipandu oleh barisan nakhoda dan anak kapal yang baru. Barisan Pimpinan baru bukanlah pemula yang akan memutuskan yang lama, tetapi sebagai penyambung kepada mata rantai perjuangan ini, yang akan terus berjuang, berlayar walau tanpa tiupan angin, meskipun tangan ini harus berdayung biarlah, semata-mata bagi memastikan bahtera ini sampai ke destinasi perjuangan yang mulia ini sehingga Syiar Islam bersinar di bumi Borneo.


MARSIS MEREDAH PERJUANGAN, MENGGAPAI KEGEMILANGAN ISLAM!!!



Selesai program MARSIS... saya cuba untuk menghadirkan diri ke Himpunan membantah PPSMI. Mendengar berita yang sangat hangat daripada mesej sahabat-sahabat yang sedang berada disana membuatkan saya tidak senang duduk diam.Meredah hujan dan kesesakan lalu lintas akibat daripada road block yang dilakukan pihak Polis tidak mengurangkan sedikitpun semangat saya untuk berada di sana. Meskipun bukan berada dibarisan hadapan tapi biarlah diri ini menjadi salah seorang diantara beribu yang hadir untuk menyaksikan salah satu lagi detik bersejarah negara. Suara dan hasrat rakyat yang ingin membela dan mendaulatkan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara.



Malangnya perjuangan ini disambut dengan tindakan ganas dan kebiadapan pihak polis terhadap para pejuang aktivis. Seperti biasa gas pemedih mata dan pancuran air menjadi musuh tetap bagi para aktivis yang hadir.

Saya bersama sahabat yang lain hanya sempat melihat bekas-bekas kebiadapan pihak polis setelah berada di Masjid Negara. Orang ramai yang hadir tidak henti-henti mengutuk pihak polis apabila melalui jalan raya utama berhadapan masjid negara, pelbagai gaya, kain rentang dan mesej yang dipamerkan bagi menunjukkan kesungguhan perjuangan ini.



Selesai solat Asar di Masjid Negara, nampaknya Datuk A. Samad Said dikerumuni oleh para jemaah untuk mendapatkan respond tentang apa yang berlaku. Apabila saya keluar, saya melihat Pn. Ainon sedang duduk berehat di tangga masjid.. apalagi saya pun menyapa beliau...



Assalamualaikum puan.

Waalaikumsalam...

Ehh..saudara pun ada...

Jadi macam mana tadi, puan...

Macam biasa... kita akan teru berjuang... saudara, ini bukan yang pertama bagi

saya...ini yang ketiga... alah lebih kurang dengan peristiwa Baling..zaman saya...


Senyum besar Pn. Ainon dihadapan saya... beliau merupakan salah satu aktivis bahasa yang berada di barisan hadapan bersama dengan suaminya Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan (Naib Pengerusi GMP).

Demonstrasi kali ini agak berlainan... saya perhatikan ramai dari kalangan adik-adik sekolah yang hadir... sama-sama memberikan sumbangan membela dan menyokong para aktivis untuk memperjuangkan dan mendaulatkan bahasa Melayu.



Pn. Ainon berada kedua dari sebelah kiri ditemani suami beliau Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan sebelah kanan beliau yang memakai songkok hitam.



Dan baru tadi saya selesai menziarahi sahabat PMIUTMKL yang sedang menganjurkan program Kem Kembara Siswa (KMM) di Kem D’Forest, Sg. Chongkak. Alhamdulillah program berjalan lancar, dengan para peserta yang bersemangat untuk menimba ilmu Islam...apapun namanya, Kem Bina Insan atau KMM, dimana pun ia dianjurkan Gombak, Janda Baik atau Sg. Chongkak ini merupakan langkah pertama kita sebagai penggerak dakwah untuk mewujudakan silaturrahim bersama dengan sahabat baru.



Mudah-mudahan selepas ini mereka akan terus komited bersama dengan penggerak PMIUTMKL bukan saja menyokong malah menjadi pendokong. Maaf atas kunjungan yang sangat ringkas disebabkan ada tanggungjawab lain yang perlu dilaksanakan.



Saya doakan anda terus istiqamah dengan perjuangan Islam ini... terus maju kehadapan... terus sukses.

Cuti pun rasa macam tak cuti... bila cuti betul-betul rasa bosanlah pulak.. tak tahu nak buat apa... Jadi kesimpulannya bersyukurlah dengan segala peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t terhadap diri kita. Semua ini merupakan pendidikan pada kita, sebagai tanda Allah masih menyayangi diri kita.


Akhir kata salam ukhwah... salam persahabatan... terus berjuang sehingga nafas yang terakhir...walau dimana anda berada..apapun jawatan anda...gunakan ia untuk mencari keredhaan Allah s.w.t.. hanya itulah sahaja yang boleh menyelamatkan kita di akhirat kelak... Syukron...wassalam.


One Two Three A’e B’e C’e,

Arigato Xie Xie.

2 comments:

  1. tiada istilah cuti hujung minggu pd yang memegang title pendokong ISLAM.agak pelik dan janggal kalau bersenang lenang dihujung minggu..sedangkan kerja ummah ini tiada kenal erti cuti..salam perjuangan!

    ReplyDelete

 

Web Page Traffic Counter
Directory Listing