Wednesday, February 18, 2009

Kursus Pra- Perkahwinan



Assalamualaikum.... dan Salam Sejahtera...

Perhatian kepada semua warga UniKL MFI, sila fokus pandangan anda kepada iklan ini yang bakal mempengaruhi masa depan anda. Iklan ini sesuai kepada sesiapa sahaja, apapun status anda tapi mestilah menepati syarat-syarat diri yang telah ditetapkan. Jangan sia-siakan masa cuti semester anda... laluilah detik-detik penting ini bersama kami. Sekian, terima kasih.

Saturday, February 14, 2009

Karisma VS Kepimpinan ( Episod Kita Bersama )

14 Februari 2009, 2 pm.

Karisma VS Kepimpinan ( Episod Kita Bersama )



Bismillahirrahmanirrahim.


Alhamdulillah, segala puji bagiMu ya Allah. Ya Allah, ampunilah dosa kami, terimalah amalan kami. Ya Allah berilah kami kekuatan dalam menempuh segala ujianMu, letakkan kami bersama golongan yang sentiasa mengingatiMu, golongan yang mendaulatkan syariatMu, agar kami tidak leka, agar kami tidak lupa, agar kami sentiasa terpelihara dengan rahmad Mu.



Ya Allah, Tuhan Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Ampunilah dosa kedua ibu-bapa kami, peliharalah mereka seperti mana mereka memelihara kami sewaktu kecil, berikanlah taufik dan hidayahMu kepada mereka.Merekalah buah hati kami, penyeri hidup kami, inspirasi kami, penawar hidup kami.



Ya Allah andai ibu-bapa kami akan pergi meninggalkan kami, Engkau ringankanlah keperitan sakaratul maut mereka, Kami memohon ya Allah... Engkau perintahkanlah malaikat maut mencabut nyawa ibu-bapa kami sepertimana Engkau mengambil nyawa kekasihMu, Muhammad s.a.w. Cabutlah dengan penuh rahmadMu, dengan sifat penyayangMu, dengan belas kasih Mu kepada kami sebagai anak kepada ibu bapa kami.



Ya Allah andai ibu-bapa kami telah pergi meninggalkan kami, terimalah doa kami, Engkau berikanlah keredhaanMu bersama mereka, luaskanlah kubur mereka sejauh mata memandang, letakkanlah mereka bersama golongan-golongan yang Kau cintai.



Ya Allah..hanya inilah yang mampu kami lakukan, berdoa dan bermunajat kepadaMu untuk ibu-bapa kami. Tidak akan kami terbalas segala jasa dan pengorbanan mereka kepada kami. Walau dikumpul segala nikmat didunia ini. Terima kasih ya Allah kerana menjadikan kami sebagai anak mereka... amin ya rabbal alamin.




Bismillah...Alhamdulillah.

Saya berterima kasih kepada anda semua, yang sudi singgah, menjenguk sekejap, memahami lalu berkomentar bersama saya.

Karisma VS Kepimpinan, sepertimana sebelumnya saya telah membentangkan sedikit mukaddimah ataupun salam perkenalan kita kepada tajuk ini. Di akhir artikel yang pertama, saya menjemput anda bersama saya menjelajah ruang masa, mengenali ciri-ciri Rasulullah s.a.w dan sekarang saya akan membawa anda ke zaman kegemilangan Mahadma Ghandi. Pastikan anda memakai topi keledar, dan segala kelengkapan keselamatan, jalan perjuangan ini penuh cabaran, penuh dengan ranjau, onak dan duri.



Kadang-kadang kita berada di bawah, kemudian diatas, mungkin juga kenderaan merentas masa saya ini akan rosak dan terpaksa ditolak, tapi saya yakin, anda yang bersama dengan saya, kerana anda adalah insan yang tabah, yang tidak mudah mengaku kalah. Kita akan pastikan, yang kita akan sampai ke zon waktu itu walau apapun yang melanda, kita pasti akan berjaya kerana kejayaan tidak diukur dengan ketinggian pencapaian kita, tetapi berapa kerap kita pulih dengan cepat setelah diuji kerana kemampuan pulih dengan cepat itulah yang menentukan kejayaan. Okey...jom.

Tahniah diatas kesabaran anda semua, kini kita telah sampai kezaman yang saya maksudkan. Zaman dimana insan yang saya maksudkan berada. Mahadma Ghandi adalah seorang lelaki India, lelaki biasa yang mempunyai latar belakang pendidikan penjajah. Setelah tamat belajar beliau berkhidmat sebagai seorang peguam.

Cuba lihat lelaki tua yang berkaca mata ini, berjalan kesana-kemari. Dengan pakaian yang kusut masai seperti sami. Beliau seperti cuba memberikan sesuatu pesanan kepada orang ramai. Orang tua ini selalu menjelajah ke seluruh India, bersama golongan masyarakat, mendekati kehidupan mereka.



Persoalannya siapa lelaki tua ini? kenapa saya menjadikan dia sebagai watak utama dalam pengembaraan kita ? Mari kita balik semula ke zaman kita, Februari 2009. Zaman dimana hedonisme menjadi pengukur kejayaan, penentu kemuliaan tiada lagi sifat keperimanusiaan.


Sudah pasti insan ini hanya akan menjadi salah satu watak sampingan dalam kesibukan warga kota mengejar kekuasaan dan material. Apalah sangat peranan orang tua ini untuk saya ceritakan bersama anda semua.


Optimis dan positif saya terhadap anda semua. Apapun, dialah insan yang saya maksudkan Mr. Mahadma Ghandi. Ahli sejarahwan telah mencatatkan bagaimana beliau menjelajah keseluruh India untuk menyatukan rakyat India. Meninggalkan kerjayanya sebagai seorang peguam, mengubah identiti dan perwatakannya. Setelah ditanya, kenapa anda melakukan semua ini? Beliau menjawab, bagaimana saya hendak menyatukan mereka, jika saya tidak bersama mereka.


Dicatatkan bagaimana beliau menyelusuri setiap lapis masyarakat India, menyebarkan risalah kemerdekaan dan pentingnya penyatuan rakyat India untuk menamatkan penjajahan Inggeris. Sehinggalah setelah India mencapai kemerdekaan beliau telah dibunuh. Majlis pengkebumian beliau telah dihadiri oleh ribuan manusia dari pelbagai lapisan masyarakat termasuklah penjajah Inggeris.



Perkara ini berlaku kepada insan ini, yang tidak mempunyai sebarang gelaran, tidak mempunyai sebarang pangkat namun telah diangkat oleh masyarakat India sebagai Bapa Kemerdekaan India? Persoalannya sekarang ? Bagaimana wujudnya insan seperti ini? Soalan saya kepada anda. Apa yang ada pada insan ini? Karisma atau Kepimpinan ?



Adakah wujud persaingan diantara Karisma dan Kepimpinan ? Hubungan kedua-dua sifat ini memang wujud dan selalunya Karisma akan mendahului Kepimpinan. Saya boleh mengatakan bahawa dua sifat ini seperti BELON.



Anda pernah bermain dengan belon? Semakin kita tiup semakin besar, ada yang berwarna hijau, hijau dan putih, ada juga yang berwarna-warni. Kemudian ada yang boleh terapung sampai ke atap rumah dan turun semula ke lantai dan ada juga yang terus terbang ke angkasa, bergantung kepada jenis gas yang kita masukkan ke dalam belon tersebut.



Apakah Karisma dan Kepimpinan dalam kes ini ? Saya yang tanya maka sayalah juga yang akan memberikan jawapan. Betulkan?



Baiklah, kepada rakan saya sekalian. Maka Belon itu adalah Kepimpinan, Gas ataupun udara itu adalah Karisma. Kenapa ? Kerana Karisma yang akan mencorakkan Kepimpinan. Belon tidak akan berfungsi tanpa udara, Kepimpinan tidak akan berkekalan tanpa Karisma.Kita pasti akan terus mengeluarkan udara samada ada melalui pernafasan kita walau tanpa belon. Maksudnya belon bergantung kepada kita, tetapi kita tidak mengharap kepada belon. Faham tidak ? Bila kita mahu main belon, beli belon dan kita tiup. Maka jadilah belon.



Maka inilah hubungan yang cuba saya nyatakan, itulah contoh belon yang termudah dan terbaik yang pada hemat saya, untuk menerangkan kepada anda semua tentang Karisma dan Kepimpinan.

KARISMA MENCORAK KEPIMPINAN.




Insan yang bergerak hanya melalui Kepimpinan akan tersungkur apabila jawatan telah hilang, namun bagi insan yang mempunyai Karisma. Mereka akan terus dijulang dan dikenang, jasa mereka akan terus berada dalam kehidupan manusia. Kerana mereka diangkat bukan berdasarkan jawatan mereka tetapi melalui karisma ataupun tingkah laku mereka.



Dulu bah pak... adakah ahli keluarga kita yang jadi pemimpin... jadi askar kah?


Soalan mudah saya kepada bapak. Sebagai pembuka bicara setelah lama tidak berbual panjang dengan beliau... waktu cuti macam nilah saya banyak berbual panjang dengan mak dan bapak.



Kenapa ko tanya macam tu Pul... memang dulu dikampung...datokmu jadi askar waktu zaman Presiden Sukarno..zaman Belanda.. ko ingat lagi masjid di kampung tu.. kan ada kubur di sebelah masjid tu. Itu kubur bapak punya datok, dulu dia penghulu dan imam masjid di kampung. Semua orang kampung akan merujuk datok bapak kalau ada apa-apa hal. Kalau dia bercakap semua orang akan diam dan patuh kepada suruhannya.

Bapak rasa saya macam mana pulak?

Bapak tengok kau ni memang ada ciri-ciri pemimpin, sama macam datokmu dan datok bapak.

Oh... patutlah...hehheh



Itu inspirasi saya. Anda pun pasti mempunyai cerita dan latar belakang yang lebih menarik. Betulkan ? Bagaimana sifat ini hadir ? Adakah melalui keturunan, adakah secara semula jadi atau perlu dilatih.





Adakah Karisma dan Kepimpinan boleh dilatih ? Saya akan menjawab bahawa Kepimpinan boleh dibentuk, dilatih namun Karisma adalah sifat semulajadi. Kita boleh melatih seseorang untuk mempunyai sifat kepimpinan namun untuk Karisma adalah berbentuk dalaman dan perlu muncul dalam diri individu itu sendiri. Para ulama dan cendekiawan menyatakan Karisma adalah kurniaan daripada Allah s.w.t untuk hambanya yang mempunyai hubungan yang rapat denganNya. Kerana insan seperti ini hanya takut kepada Allah s.w.t bukan kepada makhlukNya, yakin akan bantuanNya tidak pernah mengharap bantuan makhlukNya...selayaknya insan seperti ini sering menjadi ikutan dan sanjungan masyarakat umum.



Akhirnya izinkan saya untuk membuat kesimpulan untuk artikel yang sungguh kompleks dan mencabar ini. Saya cuba mengulas berdasarkan keterbatasan ilmu saya. Jika anda menilai berdasarkan dalil dan kesahihan fakta maka saya tahu dimana kedudukan artikel ini tetapi jika anda menilai berdasarkan kewarasan kita sebagai manusia yang berakal dan mempunyai kelebihan untuk menimbang secara waras maka artikel ini akan menjadi panduan kita bersama. Sebagai insan yang telah ditaklifkan dengan 2 jawatan azali. Iaitu sebagai khalifah dimuka bumi ini dan sebagai hamba kepada Allah subhahana wataala.




Terima kasih diatas penglibatan anda semua, teruskan menghantar komen, penambah baikan serta cadangan bernas anda semua.

Wassalam, LABATTA.

3.30 pm.

Thursday, February 12, 2009

Karisma VS Kepimpinan

12 Februari 2009 : 6.00 pm

Karisma VS Kepimpinan


Bismillahirrahmanirrahim.

Segala puji bagiMu ya Allah kerana memberikan kami nikmat Iman dan Islam, daripada makluk yang hina menjadi mulia, daripada insan yang jahil kepada hamba yang mengenaliMu, membesarkanMu, menjadikan kami lebih bersifat kerdil disisiMu.

Persaingan diantara Karisma dan Kepimpinan adalah topik yang telah lama diperbingcangkan, mempunyai pelbagai versi dan bahasa. Hal ini berlaku kerana ia merupakan lumrah bagi seorang manusia,yang menjadi panduan untuk sesebuah masyarakat dan pastinya sebagai suluhan sesebuah tamadun.

Izinkan saya untuk mengulas dua perkataan ini mengikut kamus hidup saya. Mengikut kaca mata pandangan saya, agar anda boleh menerobos kearah aliran pemikiran saya untuk kita sama- sama membincangkan perkara ini mengikut status kita sebagai seorang manusia. Kita bebaskan sedikit pemahaman kita, untuk mencari persefahaman, bersifat seperti bendalir yang mengalir mengikut pelbagai bentuk acuan tidak bersifat statik yang hanya sesuai untuk acuan asalnya.



Karisma adalah sebuah kata sifat yang menyifatkan seseorang itu untuk menarik, mempengaruhi, menguasai, memonopoli sasaran. Sasaran ini mungkin individu, masyarakat, organisasi mahupun persekitaran.

Bagaimana pula dengan kepimpinan? Adakah dua perkataan ini berbeza, yang pada pandangan kebanyakkan manusia adalah sama sahaja. Sungguh kepimpinan berbeza, kepimpinan merujuk kepada kata sifat yang menggambarkan seseorang itu boleh memimpin, mengatur, ataupun mengawal.

Daripada takrifan yang saya berikan ini, adakah anda sudah melihat berbezaannya diantaranya atau masih kabur. Baiklah antara perkara yang telah dipersetujui oleh para cendekiawan ialah salah satu sifat yang saya nyatakan diatas hanya akan berlaku bila anda mempunyai jawatan. Betul ataupun tidak, saya pulangkan jawapan itu kepada anda semua. Jadi apakah sifat yang memerlukan jawatan itu?




Bagaimana pula dengan karisma? Adakah karisma tidak memerlukan jawatan ?

Mari kita kembali ke masa lalu. Setkan masa anda.... kita akan ke zaman Rasulullah s.a.w. Insan yang kita semua cintai dan sayangi, tugas kita pada masa ini melihat adakah sifat ini terdapat pada diri Rasulullah s.a.w.



Sepertimana yang anda semua tahu Rasulullah sejak kecil lagi telah dilatih untuk berdikari, baginda dikenali dengan gelaran al-Ameen bermaksud orang yang boleh dipercayai, orang yang menjaga amanah.

Itu adalah sifat baginda sebelum menjadi pesuruh Allah. Sekarang kita setkan masa kita ke zaman pemerintahan Islam, kerajaaan Islam yang pertama iaitu di Yathrib( Madinah ). Nabi Muhammad s.a.w adalah seorang ketua kerajaan, imam, ketua panglima perang dan lain-lain lagi. Baiklah saya yakin anda semua telah jelas melihat semua perwatakan nabi, malahan anda lebih arif daripada saya dalam bab sejarah kehidupan Nabi Muhammad s.a.w, insan yang kita jadikan contoh, sebagai qudwah, ikutan seluruh umat akhir zaman.

Mari kita kembali ke zaman sekarang, tahun 2009. Zaman dimana kepadatan penduduk Islam adalah 3 per 4 daripada penduduk dunia.Tadi kita telah pergi ke zaman Rasulullah, insan yang telah dinobatkan oleh cendekiawan masa kini sebagai orang yang paling berpengaruh dalam sejarah hidup manusia iaitu Nabi kita, Nabi Muhammad s.a.w.

Saya timbulkan persoalan ini sekali lagi... adakah kita telah mengenali sifat karisma dan kepimpinan, apa persamaan dan perbezaan diantaranya? Baiklah saya bawa anda sekali lagi merentas medan waktu yang tidak jauh bezanya dengan zaman sekarang... Maaf, ini sajalah jarak masa yang saya boleh bawa pergi disebabkan harga minyak petrol yang tidak menentu dan kesan kejatuhan ekonomi yang melanda negara.

InsyaAllah, doakan saya dapat mencipta kenderaan yang tidak memerlukan sumber tenaga ini supaya kita boleh pergi lebih jauh, agar kita boleh menjadi ummat yang terkaya dan terkuat dengan memberikan perkhidmatan teknologi ini kepada Barat dan Amerika yang sanggup membunuh hanya disebabkan nikmat dunia ini.



Zaman apa yang saya maksudkan? Jom... Anda pernah mendengar nama Mahadma Ghandi...pemimpin India... merupakan pencetus kepada kemerdekaan Tanah Besar India daripada cengkaman penjajah British. Kita akan kesana !!!! Saya tinggalkan anda dengan persoalan ini adakah persaingan diantara karisma dan kepimpinan berlaku ? Adakah dua sifat ini tidak boleh sebati dalam diri seseorang ? Yang manakah patut hadir dalam diri dulu ? Karisma ataupun Kepimpinan ( 7.00 pm )

Bersambung...

Monday, February 9, 2009

KEPIMPINAN MERINTIS PERUBAHAN

Kepimpinan Merintis Perubahan


Bismillahirrahmanirrahim.


Segala puji bagi Allah s.w.t. Selawat dan salam keatas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w, keluarga dan sahabat baginda. Para mujahidin yang telah syahid dan sedang berjuang sehinggalah Islam sampai kedalam diri setiap daripada kita.


7 Februari 2009, UTMKL International Campus - Alhamdulillah hari yang dinanti pun tiba... kedatangan awal saya yang bermula sejak malam semalam melihat kesibukan para ahli jawatankuasa menyediakan persiapan terakhir untuk Perhimpunan Agung Persatuan Mahasiswa Islam International Campus untuk sesi 07/08.


Kelihatan sahabat asyik dengan kerja masing-masing ada yang menyiapkan tayangan program dan juga yang berbual-bual kosong sambil mencetak laporan buku muktamar. Sebahagiannya mabuk dengan persiapan teknikal dan logistik sampai tetamu yang datang pun tak perasan. Apapun inilah persembahan terakhir dan diharapkan yang terbaik yang dapat kita berikan kepada semua ahli PMI. Sebagai sebuah penghargaan dan ucapan terima kasih diatas sokongan dan kerjasama yang telah diberikan sepanjang satu musim kepimpinan mereka. Yang pastinya kopi Radix menjadi teman setia kami malam itu...gelak dan tawa menjadi haluan bunyi malam sebelum program bermula esok.


Sekarang saya berada di Dewan Besar, tempat rasmi untuk sebarang aktiviti Universiti dilangsungkan. Masa yang terluang ini saya gunakan untuk menghantar mesej kepada sahabat saya, Mantan Presiden PMIUTMKL 06/07 Ustaz Wan Saifullah Wan Abdul Ghani yang sekarang melanjutkan pelajarannya di Mesir dalam peringkat sarjana.


Salam,ful. Sekarang muktamar PMI... ana nak enta sampaikan sedikit ucapan..nanti ana sampaikan.. ana yang jadi pengerusi muktamar...


Wassalam.ok’. Syabas untuk bekas pimpinan PMI atas jasa selama mana mengemudi bahtera PMI. Tahniah buat adik-adik pimpinan. Ana doakan moga nusrah( pertolongan ) Allah mengiri perjuangan kalian. Jangan takut jika tidak mempunyai pengalaman. Kerana ia membuatkan antum untuk tidak bergantung pada sejarah abang-abang... sebaliknya menjadikan antum untuk berfikir diluar kotak kebiasaan. Pahat lah sejarah yang baru untuk PMI.


Kemudian...


Akhir kalam seiring dengan fajar yang mula menyingsing ,Ana doakan kejayaan buat adik-adik. Sampaikan salam SAYANG buat semua. Allahumma rabbit quluubana biribatil Ukhuwatti fiik... :)


Ini adalah mesej yang saya terima daripada bekas presiden saya. Sahabat perjuangan yang menjadi pemimpin kami. Kadang- kadang berbalah, bergaduh di dalam dan luar mesyuarat .. tapi kemudian kami tersenyum dan tergelak sendiri bila memikirkan tindakan yang telah kami buat itu. Inilah mungkin yang dinamakan kemanisan Ukhwah yang telah diikat dengan Islam...


Jam telah menunjukkan 8.30 pagi, barisan VIP telah mula tiba dimulakan dengan Ustaz Khairuddin, Ustaz Syarizal selaku penasihat PMI, kemudian Dekan UTM International Campus Dato’ Prof. Ir. Dr. Azhari b. Mohd Salleh. Setelah para tetamu sampai, maka pukul 9.00 pagi majlis pun bermula. Kelihatan barisan tetamu mahasiswi melebihi mahasiswa, saya difahamkan hari ini merupakan hari “Test” untuk beberapa kursus dan terdapat program lain yang sedang berlangsung memberi sedikit-sebanyak kesan kepada bilangan kehadiran tetamu muktamar kali ini.


Walaupun demikian, majlis tetap diteruskan... jauh dalam sudut hati saya menyatakan kerusi kosong ini sebenarnya ada malaikat yang sedang duduk memerhatikan majlis yang penuh dengan zikir, menyaksikan golongan yang sedang membincangkan tentang agama Islam, kumpulan yang cinta kepada Islam. Mungkin juga kita kena melihat kepada sejauh mana gerak kerja publisiti dalam mewar-warkan program ini kerana ramai mahasiswa yang akan balik kampung kerana mengambil peluang, 3 hari bercuti sempena Cuti Thaipusam.

Saya meringkaskan laporan ini, antara perwakilan yang datang ialah PMI UTM Skudai dan Persatuan Rakan Halaqah Siswa (Ruhis) UniKL MFI. Kedatangan mereka ini merupakan simbol dan tanda sokongan padu kepada gerakan Islam di UTMKL ini.


Setelah selesai ucapan para VIP, maka tibalah sesi perbahasan muktamar PMI. Tepat masa itu juga. tugas saya sebagai Pengerusi Tetap Muktamar bermula. Nampaknya mikrofon ini akan bertemu buku dengan ruasnya. Agak lama juga saya tidak berucap apatah lagi sebagai mastermind dalam sesebuah majlis. Mungkin juga tangan ini telah biasa memegang pembesar suara, memegang bendera dan poster , merasakan kepanasan matahari bukan kedinginan penghawa dingin dewan besar ini.

Antara isi penting yang diperbahaskan ialah :


  • Keberkesasan risalah dan laman web PMI.
  • Mekanisme terbaik dalam menjalankan amar makruf hani mungkar.
  • Peranan sebenar Lajnah R&D.
  • Hubungan PMIUTMKL dengan PRO Mahasiswa.
  • Keberlangsungan kuliah ilmu di kolej pertama dan kedua
  • Kepelbagaian program dalam Lajnah Ekonomi
  • Laporan Aktiviti Lajnah Kebajikan
  • Apakah agenda utama Lajnah Sukan dan Kebudayaan.

Senarai isu diatas merupakan sebahagian dari topik hangat yang diperbahaskan dan saya yakin bahawa telah diulas dengan penuh rasional dan bertimbang rasa daripada setiap barisan pimpinan PMI 07/08. Kita bukanlah insan yang sempurna tetapi kita mesti kearah kesempurnaan. Saya yakin pimpinan PMI sekarang telah melakukan segalanya, mencuba yang terbaik, mempersembahkan segala yang mereka termampu untuk mewujudkan syiar Islam dikampus, namun adalah tidak wajar jika terdapat sedikit kesalahan, terlepas pandang menjadi tiket untuk kita menyalahkan barisan pimpinan kita.


Sebagai seorang Islam kita kena sedar bahawa ini adalah tanggungjawab seorang muslim samada dengan jawatan ataupun tanpa jawatan. Kita juga sedar bahawa barisan pimpinan ini merupakan insan biasa yang melakukan kerja luar biasa. Kerja yang bukan semua insan boleh memikulnya, hanya Allah s.w.t sajalah yang memberikan kelebihan dan pertolongan.


Kemudian majlis diteruskan dengan sesi perbahasan usul. setelah mendengar cadangan dan perbahasan daripada setiap pencadang maka majlis muktamar sebulat suara menerima 2 usul yang akan diperjuangkan oleh barisan pimpinan baru PMIUTMKL International Campus sesi 08/09 iaitu :


· Mengetengahkan dan memperjuangkan isu-isu global umat Islam di UTM International Campus.

· Meningkatkan kerjasama diantara PMI dengan organisasi dan persatuan lain.


Alhamdulillah majlis berjalan dengan lancar, walaupun saya mendapat (sms-sms layang-layang ) daripada sahabat-sahabat yang berada dibawah. Mungkin tengah memerhatikan gaya dan cara penyampaian saya. Maaflah kalau ada yang tidak kena dipandangan mata anda.


Buah Cempedak Diluar Pagar,

Ambil Galah Tolong Jolokkan,

Saya Budak Baru Belajar,

Kalau Salah Tolong Tunjukkan.


Kalau ada sumur diladang,

Boleh ana menumpang ambil air wudhu,

Kalau ada umur yang panjang,

Boleh lah kita berjumpa lagi.


Terima kasih atas teguran anda semua, yang pastinya hari ini saya gembira. Gembira melihat wajah-wajah baru, yang saya harapkan akan menggalas tanggungjawab dan amanah ini dengan sepenuh kudrat yang ada. Saya gembira melihat kawan-kawan seperjuangan yang lama dapat berkumpul semula walaupun bukan semua, tapi ini sudah cukup memadai.


Akhirnya, saya bersyukur kehadrat Illahi diatas kesempatan yang diberikan untuk berkongsi sedikit pengalaman ini dengan anda semua. Saya berterima kasih kepada sahabat semua atas jemputan yang diberikan, lain kali jemputlah lagi... walaupun selalu datang tanpa dijemput..hehehe. Bonjour,xie xie for you all. Moga kita semua diberikan kekuatan untuk istiqamah dalam medan dakwah ini. Afwan, wassalam.


Tuesday, February 3, 2009

Dirgahayu PMIUTMKL





Bismillahirrahmanirrahim…

Segala puji bagi Allah s.w.t, Selawat dan salam keatas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w, para keluarga baginda, sahabat dan para mujahid yang telah dan sedang berjuang sehinggalah kalimah Lailahaillallah berada dalam setiap diri kita.



Artikel khas ini saya terbitkan bagi menyambut satu lagi hari bersejarah dalam hidup saya iaitu Majlis Perhimpunan Agung Persatuan Mahasiswa Islam
( PMIUTMKL 08/09 ). Diwaktu saya menulis artikel ini saya masih tidak tahu dimana dan bila majlis ini akan berlangsung, Cuma yang pastinya 7 Februari 2009 akan menjadi sebuah lagi tarikh keramat untuk para gerakan Islam dibumi UTMKL yang kusayangi ini.



Bagi seorang insan yang pernah mengemudi bahtera ini bersama dengan rakan seperjuangan, ombak dan badai adalah permainan tarbiah dalam diri kami. Semakin tinggi ombak itu maka semakin kuatlah kami memegang tali agama Allah itu. Terima kasih Ya Allah kerana Engkau telah meletakkan saya menjadi salah seorang dalam perjuangan itu. Kalau PMI itu adalah sejenis darah, maka darah saya adalah jenis PMI kerana saya ditarbiyah dalam PMI. PMI memberikan saya jalan dan haluan mendekati Islam, mengenali perjuangan dan memahami erti persahabatan.

Untuk para sahabatku yang bakal turun pimpinan dan bergelar mantan, mantan hanyalah pada nama dan kita mesti bersedia memberikan perkhidmatan dan pertolongan selagi diperlukan oleh pimpinan baru. Kemanisan perjuangan itu akan lebih bermakna apabila kita bergerak atas nama seorang insan bukan atas tiket ataupun sebarang jawatan kerana kita melakukan atas watak dan perwatakan kita yang asli. Jawatan dan persatuan itu hanyalah sebagai alat yang mempermudahkan kita untuk berdakwah, namun bukanlah perkara pokok ataupun sebab utama kita berdakwah. Ucapan saya kepada anda semua ialah : “…Welcome to the Mantan's World...”


Kepada adik-adik yang saya sayangi, anda merupakan generasi penyambung tali perjuangan ini. Nakhoda dan anak kapal yang baru namun masih melayari bahtera kapal yang sama, pandulah ia mengikut cara anda,bersesuaian dengan cuaca perjuangan anda namun yang pastinya hala tuju dan peta perjuangan kita tetap sama dari dulu, kini dan selamanya. Demi Menegakkan syiar Islam di bumi UTMKL.


Ingin saya berkongsi sebuah kata-kata sewaktu saya mengikuti sebuah program kepimpinan. Seorang ustaz telah memberi nasihat kepada saya, beliau mengatakan :
"Enta adalah seorang pemimpin.. apabila enta seorang pemimpin..enta ibarat pokok yang besar, pokok yang menaungi pokok-pokok kecil dibawah enta. Ingatlah enta akan merasa kepanasan matahari, enta akan merasakan kesejukan hujan, keheningan pagi dan kesunyian malam. Ini adalah tanggungjawab enta melindungi kawanan pokok yang kecil itu, ingatlah segala kesenangan dan kesulitan entalah insan yang pertama yang akan merasainya. Oleh itu buatlah yang sebaiknya.. Mintalah pertolongan kepada Allah s.w.t mudah-mudahan pertolonganNya akan sentiasa bersama dengan enta."


Akhir kata, saya menyeru kepada semua ahli dan alumni PMIUTMKL untuk turut hadir bagi memeriahkan dan menjayakan program ini. Saya sedar setiap dari kita mempunyai tanggungjawab masing-masing. Maka sekurang-kurangnya kita berniatlah untuk hadir moga Allah s.w.t melihatkan cara dan mempermudahkan segala urusan untuk kita semua menghadirkan diri pada Majlis Perhimpunan Agung Persatuan Mahasiswa Islam ( PMIUTMKL ). Salam ukhwah ,salam perjuangan daripada saya. Syukron,wassalam.

Sunday, February 1, 2009

Xie...Xie.. Gaza...




Terima Kasih Gaza !!!

Untukmu Gaza…
Terima kasih Gaza…
Kerana kau telah menyatukan kami…
Merapatkan saf perjuangan kami…
Mengamalkan sunnah nabi…
Bersolat hajat dan membaca doa qunut nazilah...

Terima kasih Gaza...
Walau keringat demonstrasi kami tidak sederas peluh mu
menentang Israel jahanam...
Walau suara kami tidak sekuat jeritan jihad mu...
Walau tangisan kami tidak dapat menyegarkan tenagamu...
Namun kami yakin Allah sentiasa bersamamu...

Terima kasih Gaza...
Walau nyawa telah terkorban...
Walau bangunan telah punah...
Namun semangat jihad kami semakin membara...
Sekuat dan seteguh Masjidil Aqsa...

Terima kasih Gaza...
Engkau telah menyedarkan kami...
Memperlihatkan kami...
Siapa dia GOLONGAN MUNAFIK diantara kami !!!
Siapa dia PENCACAI ISRAEL JAHANAM !!!
Siapa dia PEMIMPIN yang HIPOKRIT !!!
Siapa dia yang MENJUAL AGAMANYA !!!

Terima kasih Gaza...
Engkau telah membuktikkan yang BENAR pasti akan MENANG...
Engkau telah menyatukan kami semua...
Atas dasar Islam yang mengalir dalam diri kami semua !!!
Takbir !!!

Bismillah...Sajak ini terus saya tulis... setelah selesai mendengar kuliah maghrib di Surau An- Nur semalam, surau berdekatan dgn Pusat Darus Syifa' Bangi. Seronok mendengar kuliah yang diberikan oleh Ust. Sulaiman. Datang dalam keadaan tergesa-gesa membuat otak saya cepat menangkap apa yang disampaikan oleh ust. Antara yang boleh dikongsikan ialah apakah masa yang paling bermakna atau berharga bagi seorang manusia? Jawapannya ialah masa dimana kita merasa dekat dengan Allah s.w.t, masa dimana pengharapan dan munajat kita hanya pada-Nya. Kalau saya tidak silap ialah munculnya sifat ubudiyah pada diri manusia, sifat seorang hamba pada pencipta.. itulah masa yang paling bermakna bagi seorang manusia. Kembali kepada sifat semulajadi seorang hamba yang meminta dan mengharap kepada penciptanya.

Sebelum ust. menceritakan tentang Gaza. Beliau memberitahu apa maksud orang yang kaya. Kaya anda adalah apabila anda hendak makan anda tidak perlukan orang lain untuk masak, kaya anda ialah apabila anda tidak berhajat kepada ubat apabila anda sakit. Jadi apakah jenis kaya anda sekarang? Sudah tentu kaya yang bersifat sementara yang tidak dapat menjamin keadaan anda. Semuanya masih dan perlu kepada pengharapan dan munajat seorang hamba kepada Allah s.w.t

Sekadar perkongsian bersama. Sila betulkan jika ada yang salah...wassalam.
 

Web Page Traffic Counter
Directory Listing